Perwakilan Umno hanya mengambil masa satu setengah jam untuk membahas dan seterusnya meluluskan pindaan perlembagaan parti tersebut di perhimpunan khas yang berlangsung pada 13 Oktober lalu. Tema perhimpunan “Menjana Transformasi” telah digebang-hebahkan oleh media sebagai suatu perluasan demokrasi dalam parti ini.
Namun begitu jika pindaan tersebut diamati dan diperhalusi terutama bagi perkara hak ahli Umno memilih kepimpinan pusat menjadi lebih terhad dan sebenarnya TIDAK melibatkan SEMUA tiga juta ahlinya tetapi sebahagian sahaja yang akan terlibat.
Rasionalnya, sebagaimana yang dimaklumkan oleh Dato’ Seri Hishamuddin Hussein selaku Pengerusi Jawatankuasa Pindaan Perlembagaan Umno menyebut 95,500 orang perwakilan daripada 191 Bahagian Umno seluruh Malaysia dan 51,000 orang perwakilan dari 17,000 cawangan Umno seluruh Malaysia yang terdiri daripada ketua-ketua sayap parti (Ketua Pemuda, Wanita & Puteri) akan terlibat dalam proses pemilihan kepimpinan parti. Jumlah tersebut melibatkan 146,500 orang perwakilan keseluruhannya daripada tiga juta ahli Umno seluruh Malaysia!
Umno dengan bangganya mentakrifkan parti ini telah meluaskan demokrasi kepada ahlinya dalam pemilihan kepimpinan tetapi berdasarkan maklumat dinyatakan jelas ia telah mengehadkan walaupun hak memilih kepimpinan pusat telah melibatkan bahagian dan cawangan. Tujuan pindaannya memang baik dan ingin menghalang politik wang berlaku namun pindaan ini lebih memperlihatkan kawalan terus perwakilan-perwakilan yang terlibat dalam pemilihan. Ia sebenarnya akan lebih merancakkan politik wang yang sudah sedia subur dalam pemilihan Umno.
Berbeza dengan PKR yang lebih awal melaksanakan perluasan demokrasi dalam parti melalui pindaan perlembagaannya di Kongres Nasional Khas yang berlangsung pertengahan tahun ini. Pindaan tersebut melibatkan istilah-istilah parti seperti bahagian menjadi cabang, ranting (cawangan), anggota (ahli) dan hak memilih yang diluaskan kepada keseluruhan anggota PKR seluruh Malaysia.
Hak memilih kepimpinan pusat PKR telah diluaskan kepada 350,000 anggotanya seluruh Malaysia dan ia bermakna walaupun anggota itu bertaraf ahli biasa, ia tetap terlibat dan mempunyai hak memilih tanpa perlu menjawat sebarang jawatan dalam parti. Ia umpama pilihanraya umum dalam parti. Jelas berbeza dengan Umno yang kononnya meluaskan hak memilih kepimpinan pusat kepada ahlinya di bahagian dan cawangan tetapi HANYA melibatkan ahli-ahli yang berjawatan dalam kerangka pimpinan bahagian & cawangan.
Andainya, PKR memiliki keanggotaan seperti Umno, sudah pasti tiga juta anggota PKR layak mengundi dan memilih kepimpinan pusatnya! Pada landasan ini, PKR lebih demokratik dan progresif berbanding Umno.
Harus diingat, pindaan perlembagaan PKR dibahaskan selama 8 jam sebelum ia diterima oleh seluruh perwakilan cabang PKR. Pindaan tersebut telah menerima 90% sokongan perwakilan (daripada 1300 perwakilan yang hadir) dan 10% perwakilan menentang. Rasionalnya fakta ini, terdapat majoriti sokongan dan sebahagian menentang yang menggambarkan proses demokrasi berjalan dalam PKR dengan lancar berbanding Umno yang membahaskan pindaan perlembagaan dan disokong tanpa ada tentangan dalam tempoh satu setengah jam!
Ketakutan pimpinan utama Umno jelas kerana usul pindaan tempoh jawatan Presiden dihadkan kepada tiga penggal tidak disebut walaupun pernah dinyatakan sebelum perhimpunan khas diadakan. Logiknya, andainya benar Umno menjana transformasi dengan keseluruhan ahlinya diberi hak mengundi dan memilih kepimpinan pusat-akan pasti ada saf kepimpinan utama yang bakal tumbang dan ditolak secara total melalui undi itu. Sahihnya, Umno tidak bersedia ke arah itu.
Masih ada politikus-politikus dalam Umno yang berbisa, berpengaruh dan mempunyai sokongan kuat “ditempangkan” keupayaannya dengan syarat-syarat pertandingan seperti ‘kouta had kelayakan’. Jika hak memilih seluruh ahli berlaku dalam Umno, nescaya kejutan-kejutan yang maha hebat mengoncang Umno melampaui senario Pemilihan Umno 1988 dahulu. Mungkin lebih kencang berbanding pertelingkahan Mahathir-Anwar Ibrahim.
REBIN BIRHAM
Ketua AMK Negeri Sembilan
Friday, November 20, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
sian tngok muka ketua korang ni, LANGSUNG TAKDE KUALITIIIII!!!!
ReplyDelete