Monday, November 30, 2009

Warga Felda Prihatin: melaksana tanggungjawab membela warga Felda

PKR Negeri Sembilan tidak ketinggalan dalam usaha membela nasib rakyat di kawasan-kawasan Felda di Negeri Sembilan. Atas tanggungjawab itu, satu badan bebas iaitu Warga Felda Prihatin telah diwujudkan bagi melaksanakan tanggungjawab membela nasib warga Felda negeri ini.

Rakyat negeri ini masih tidak menyedari kewujudan badan ini dalam memacu kepentingan rakyat di kawasan-kawasan warga Felda. Masalah utama yang sering membebani wara peneroka Felda meliputi pelbagai sudut yang akhirnya memerangkap kehidupan mereka. Atas bebanan masalah yang dihadapi ramai warga peneroka mudah ditipu dan 'diperhambakan' oleh tindakan-tindakan yang meragut keadilan sosial mereka.

Seiring dengan kewujudan Biro Hal ehwal Peneroka PKR Pusat, Warga Felda Prihatin akan menjadi pemangkin membela warga peneroka Felda di Negeri Sembilan.

Sebagai makluman penting, pejuang-pejuang sosial bagi warga peneroka Felda dari PKR Negeri Sembilan dipimpin sendiri oleh anak-anak peneroka Felda itu sendiri iaitu saudara Haji Muhamad Kamel Yasin yang berasal dari Felda Sendayan, saudara Rebin Birham (Ketua AMK NS) yang berasal dari Felda Palong, Haji Baharuddin Arif dari Felda Bukit Rokan dan Kapten (B) Zolkapli Kassim dari Felda Bukit Jalor, Tampin.

Coretan Petang

oleh CAM (cetusan anak muda)

"Felda yang jadi penyumbang ekonomi kedua terbesar negara lepas Petronas. Kira Felda pun macam beri makan pada rakyat Malaysia...."

Terkenang saya kepada ayat di atas ketika mengunjungi rumah seorang sahabat di Felda Jengka 18 di Jengka, Pahang dua tahun yang lalu. Bapa kepada sahabat saya ini seorang penyokong totok Umno dan terlibat sebagai AJK cawangan. Beliau begitu marah kepada golongan muda yang sudah tidak menyokong Umno termasuk saya. Sahabat saya awal-awal lagi berpesan "Bapak aku ni kuat Umno, semua betul jer kat Umno tu, tak payahlah kau cerita politik pembangkang kat dia."

Namun, hati saya keras hendak juga melihat dan menilai sekuat mana bapa sahabat saya ini berhujah mempertahankan parti totok kesayangan beliau itu.

Seketika sedang beliau rancak membicarakan Felda hebat itu ini, lalu saya bertanya;
"Mintak maaflah pakcik, nak tanya kalau Felda tu penyumbang ekonomi kedua terbesar Malaysia, kenapa di kawasan Felda Jengka 18 ni bergelap jer takde lampu jalan?"

Lalu dengan segera dijawab oleh bapa sahabat saya ini;
"Kalau nak pasang lampu, nanti peneroka sini yang kena bayar!"...jawab dengan yakin...

Sekali lagi saya bertanya;
"Ait..pelik tu! Pakcik kata Felda penyumbang ekonomi kedua terbesar dan beri rakyat Malaysia makan tapi takkan lampu jalan dalam Jengka 18 ni pun peneroka jugak yang kena bayar???".

Jawapan yang sama juga dijawab oleh orang tua ini dan ditambah; "lagi pun susah peneroka nak dapatkan lampu jalan."

Saya membalas; "Pakcik kan AJK Umno kawasan ni...takkan tak boleh dapat bantuan untuk lampu jalan!?"..sedikit menyindir...

Terdiam seketika bapa sahabat saya itu...memikir seketika jawapan yang hendak diluahkan kepada saya. Kemudian dia membalas;
"Perkara begini nak kena bincang dalam mesyuarat dulu, dah setuju baru mesyuarat pulak dengan pengurusan Felda Jengka 18."

Tanpa menunggu panjang, saya terus memotong hujah petang itu; "Pakcik, bayangkanlah saya ni orang luar...tak biasa dengan laluan di kawasan ni...bawak kereta..dan kalau lalu waktu malam dah tentunya gelap laluan masuk di sini...buat terlanggar anak-anak orang kawasan ni dah susah pulak jadinya.."

sambung saya lagi; "lagi pun untuk kemudahan dan keselamatan orang-orang kawasan ni jugak...sekurang-kurangnya nampaklah orang lalu lalang...kalau Felda kaya raya sampai boleh nak buat Menara Felda tapi nak sediakan kemudahan lampu jalan pun tak boleh...MAKNAnya pakcik kena tipulah....jadi AJK Umno pun takde ikhthiar nak dapat lampu jalan...peneroka terbiar takde kemudahan asas..apalah ertinya status penyumbang ekonomi kedua terbesar negara? Kalau pakcik dok diam jer macam ni, silap-silap peneroka semua berlaparlah..yang kenyang pengurusan kawasan ni."

Bapa sahabat saya itu terus termenung jauh...mungkin marah dengan jawapan saya atau mungkin pencerahan tiba-tiba menerjah akal fikirannya. Akhirnya perbualan itu mati tanpa ada balasan hujah...dan sahabat saya muncul semula dan bertanya; "Apa yang kau 'bambu' bapak aku tu?"...saya jawab ; "Ada lah...aku beri bapak kau 'clear' sikit..."
Tanya lagi sahabat saya; "Clear apa?"
Jawab saya; "Kau tanya sendirilah...kakakakaka"

Didoakan dengan segala rahmat dan izinNYA, semua umat Islam (termasuk peneroka Felda) dibebaskan fikiran dan diri mereka daripada terus diperhambakan manusia dan kezaliman. Amin.

Friday, November 20, 2009

Konvensyen PKR Negeri Sembilan 2009


PKR Negeri Sembilan akan menganjurkan satu konvensyen khas kepada anggota partinya pada hari Ahad ini. Semua anggota parti seluruh Negeri Sembilan dijemput hadir ke konvensyen ini.

Konvensyen akan bermula jam 9.00 pagi. Para anggota parti diminta hadir awal pagi kerana pendaftaran peserta akan bermula jam 8.00 pagi.

Ketua Umum, Dato' Seri Anwar Ibrahim akan menyampaikan ucapan amanatnya pada hari tersebut.

Pindaan Perlembagaan Umno mengukuhkan politik wang.

Perwakilan Umno hanya mengambil masa satu setengah jam untuk membahas dan seterusnya meluluskan pindaan perlembagaan parti tersebut di perhimpunan khas yang berlangsung pada 13 Oktober lalu. Tema perhimpunan “Menjana Transformasi” telah digebang-hebahkan oleh media sebagai suatu perluasan demokrasi dalam parti ini.

Namun begitu jika pindaan tersebut diamati dan diperhalusi terutama bagi perkara hak ahli Umno memilih kepimpinan pusat menjadi lebih terhad dan sebenarnya TIDAK melibatkan SEMUA tiga juta ahlinya tetapi sebahagian sahaja yang akan terlibat.

Rasionalnya, sebagaimana yang dimaklumkan oleh Dato’ Seri Hishamuddin Hussein selaku Pengerusi Jawatankuasa Pindaan Perlembagaan Umno menyebut 95,500 orang perwakilan daripada 191 Bahagian Umno seluruh Malaysia dan 51,000 orang perwakilan dari 17,000 cawangan Umno seluruh Malaysia yang terdiri daripada ketua-ketua sayap parti (Ketua Pemuda, Wanita & Puteri) akan terlibat dalam proses pemilihan kepimpinan parti. Jumlah tersebut melibatkan 146,500 orang perwakilan keseluruhannya daripada tiga juta ahli Umno seluruh Malaysia!

Umno dengan bangganya mentakrifkan parti ini telah meluaskan demokrasi kepada ahlinya dalam pemilihan kepimpinan tetapi berdasarkan maklumat dinyatakan jelas ia telah mengehadkan walaupun hak memilih kepimpinan pusat telah melibatkan bahagian dan cawangan. Tujuan pindaannya memang baik dan ingin menghalang politik wang berlaku namun pindaan ini lebih memperlihatkan kawalan terus perwakilan-perwakilan yang terlibat dalam pemilihan. Ia sebenarnya akan lebih merancakkan politik wang yang sudah sedia subur dalam pemilihan Umno.

Berbeza dengan PKR yang lebih awal melaksanakan perluasan demokrasi dalam parti melalui pindaan perlembagaannya di Kongres Nasional Khas yang berlangsung pertengahan tahun ini. Pindaan tersebut melibatkan istilah-istilah parti seperti bahagian menjadi cabang, ranting (cawangan), anggota (ahli) dan hak memilih yang diluaskan kepada keseluruhan anggota PKR seluruh Malaysia.

Hak memilih kepimpinan pusat PKR telah diluaskan kepada 350,000 anggotanya seluruh Malaysia dan ia bermakna walaupun anggota itu bertaraf ahli biasa, ia tetap terlibat dan mempunyai hak memilih tanpa perlu menjawat sebarang jawatan dalam parti. Ia umpama pilihanraya umum dalam parti. Jelas berbeza dengan Umno yang kononnya meluaskan hak memilih kepimpinan pusat kepada ahlinya di bahagian dan cawangan tetapi HANYA melibatkan ahli-ahli yang berjawatan dalam kerangka pimpinan bahagian & cawangan.

Andainya, PKR memiliki keanggotaan seperti Umno, sudah pasti tiga juta anggota PKR layak mengundi dan memilih kepimpinan pusatnya! Pada landasan ini, PKR lebih demokratik dan progresif berbanding Umno.

Harus diingat, pindaan perlembagaan PKR dibahaskan selama 8 jam sebelum ia diterima oleh seluruh perwakilan cabang PKR. Pindaan tersebut telah menerima 90% sokongan perwakilan (daripada 1300 perwakilan yang hadir) dan 10% perwakilan menentang. Rasionalnya fakta ini, terdapat majoriti sokongan dan sebahagian menentang yang menggambarkan proses demokrasi berjalan dalam PKR dengan lancar berbanding Umno yang membahaskan pindaan perlembagaan dan disokong tanpa ada tentangan dalam tempoh satu setengah jam!

Ketakutan pimpinan utama Umno jelas kerana usul pindaan tempoh jawatan Presiden dihadkan kepada tiga penggal tidak disebut walaupun pernah dinyatakan sebelum perhimpunan khas diadakan. Logiknya, andainya benar Umno menjana transformasi dengan keseluruhan ahlinya diberi hak mengundi dan memilih kepimpinan pusat-akan pasti ada saf kepimpinan utama yang bakal tumbang dan ditolak secara total melalui undi itu. Sahihnya, Umno tidak bersedia ke arah itu.

Masih ada politikus-politikus dalam Umno yang berbisa, berpengaruh dan mempunyai sokongan kuat “ditempangkan” keupayaannya dengan syarat-syarat pertandingan seperti ‘kouta had kelayakan’. Jika hak memilih seluruh ahli berlaku dalam Umno, nescaya kejutan-kejutan yang maha hebat mengoncang Umno melampaui senario Pemilihan Umno 1988 dahulu. Mungkin lebih kencang berbanding pertelingkahan Mahathir-Anwar Ibrahim.

REBIN BIRHAM
Ketua AMK Negeri Sembilan

PKR NS sokong siapa sahaja calon Pakatan Kota Siputeh


SEREMBAN – Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri Sembilan, akan menyokong sesiapa sahaja individu yang dicalonkan pucuk pimpinan tertinggi bagi bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Siputeh.

Ketua Penerangan PKR Negeri, Ibrahim Yusof berkata, pihaknya akan memberi sokongan kepada sesiapa sahaja calon diletakkan, sekiranya pilihan raya kecil di DUN tersebut diadakan kelak.

“Kita di peringkat pimpinan negeri sentiasa menyokong sesiapa sahaja calon dinamakan, malah akan memberi sokongan penuh dalam setiap aktiviti berkempen.

“Tidak kira calon dari Pas, PKR atau DAP sekalipun, kita akan sokong. Soal siapa bertanding itu tidak penting, yang lebih penting kita dapat merampas kembali kerusi di Kota Seputih, sekali gus memantapkan lagi Pakatan Rakyat dalam kalangan masyarakat.

“Kita yakin, masyarakat setempat pasti akan menyokong PR, sekali gus memberi peluang kepada calon daripada PR mentadbir di kawasan berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Sementara itu, Ketua Pemuda Angkatan Muda Keadilan (AMK) Negeri Sembilan, Rebin Birham berpendapat, pihaknya juga akan memastikan setiap perancangan dan program diatur bagi pilihan raya kecil itu kelak berjalan lancar tanpa sebarang gangguan.

Katanya, pemuda akan sentiasa bekerja keras dan bersiap sedia membantu calon bertanding bagi mengecap kejayaan.

Tambah Rebin, Barisan Nasional atau Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak perlu bersusah payah membuat rayuan dan menafikan keputusan mahkamah kerana itu adalah satu kerja yang sia-sia.

“Terimalah keputusan dengan hati terbuka dan bersikaplah profesional dengan apa yang diputuskan oleh mahkamah, tidak perlu rasa takut untuk berdepan dengan pilihan raya kecil di situ,” katanya.

Monday, November 16, 2009

'Penyeludupan' RM10 juta-penjelasan MB N.Sembilan dituntut

REMBAU, 16 Nov: Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Utama Hj Mohamad Hj Hassan dituntut memberi penjelasan berhubung isu 'Penyeludupan' RM10 juta yang didakwa telah dikirim ke luar negara.

Tuntutan dibuat Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR), Badrul Hisham Shaharin melalui satu surat terbuka kepada Mohamad Hassan.

Dalam surat bertarikh hari ini, Badrul yang juga Ketua PKR Rembau membawa maklumat Bank Negara Malaysia (BNM) mendapat bukti menunjukkan Mohamad Hassan, melalui Salamath Ali Money Changer Sdn Bhd (salah satu lesen perniagaan pengurupan wang yang didakwa dibatalkan) telah mengirim sejumlah wang yang bernilai RM10 juta ke London pada tahun 2008.

Menurutnya kegiatan itu juga telah melanggar Akta Pengurupan Wang 1998 iaitu Seksyen 30(1)(b), "… perbuatan yang melibatkan, yang berkaitan dengan, atau sebagai persediaan bagi, pengiriman atau pemindahan dana ke luar Malaysia…" dan; Seksyen 35(b), "memberikan apa-apa maklumat yang palsu dalam sesuatu butir material bagi mana-mana Akta ini".

Berikutan maklumat tersebut, beliau juga memohon dua persoalan berikut yang dianggap besar perlu dijawab.

"Adakah benar YAB Datuk Seri Utama terlibat dalam transaksi seperti maklumat yang diperolehi ? Dan kenapa ia melanggar undang – undang ?

"Bolehkah YAB Datuk Seri Utama secara telus menerangkan dari mana datangnya dana sebanyak RM10 juta dan apakah tujuan transaksi tersebut?" soalnya.

Beliau turut menyeru kepada Gabenor BNM, Tan Sri Dato’ Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz agar menyiasat segera terhadap Salamath Ali Money Changer Sdn Bhd serta mengumumkan siapa penerima dan pengirim yang berkaitan serta tujuan transaksi yang dijalankan.

"Saya telah hilang kepercayaan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) namun kesempatan ini saya mencabar SPRM (jika ia bukan perkakas regim penguasa) menyiasat segera secara terbuka terhadap punca-punca dana sebanyak RM 10 juta yang dikirim oleh Mohd Hassan dan penerima transaksi yang ditujukan," katanya lagi.

Baliau juga memberitahu satu laporan rasmi juga akan dibuat kepada Jabatan Siasatan Jenayah Kormesial PDRM berkenaan perkara tersebut.

Turut dimuatkan dalam surat tersebut, kes-kes pengiriman wang secara haram pada tahun 2008 dan 2009 dan tindakan yang pernah dikenakan terhadap sebuah syarikat pengurup wang pada tahun 2006..

"Pada tahun 2009, telah berlaku 92 kes yang melanggar seksyen 30 dalam Akta tersebut. Perkembangan ini (pada tahun 2008, 12 kes telah meningkatkan kepada 92 kes pada tahun 2009) adalah satu fenomena yang membimbangkan.

"Ini menunjukkan bahawa pengiriman wang secara haram makin tidak terkawal.

"Manakala maklumat yang ada mendedahkan bahwa BNM mengenakan tindakan terhadap hanya satu pengirim dana yang melanggar Seksyen 30 Akta Pengurupan Wang 1998.

"Pengurupan wang ini telah dikompaun sebanyak RM50,000.00 pada tahun 2006, " katanya.